Isnin, 27 April 2009

Menjejak Melayu Oleh Saufi Hamzah dan Mona Ahmad

BENARKAH selama ini Orang Asli dan orang Melayu wujud dari rumpun atau keturunan yang sama?

Jika diamati kajian bertajuk Analisis DNA Mitokondria (MtDNA) masyarakat Melayu Moden dan Orang Asli di Semenanjung yang dihasilkan penyelidik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zafarina Zainuddin, mendapati bahawa keadaan sebaliknya berlaku di mana Orang Asli dan orang Melayu berasal dari keturunan berlainan.

Berdasarkan data DNA Mitokondria (MtDNA) yang dikumpulkan dalam kajian itu, orang Melayu Moden dipercayai berasal dari populasi `Austronesian' (atau Selatan Mongoloid) manakala Orang Asli pula adalah saki baki manusia moden dari populasi `Australoid'.

Hasil kajian itu juga disokong oleh kajian linguistik yang menyatakan terdapat dua penghijrahan pra-sejarah utama berlaku di Asia Tenggara.

Gelombang penghijrahan pertama yang berlaku kira-kira 40,000 tahun membawa kemasukkan populasi `Australoid' purba ke kepulauan Indo-Malaysia, yang seterusnya bergerak dan menetap di Australia dan New Guinea.

[img]http://www.bharian.com.my/m/BHarian/BHimages/23dr3.jpg[/img]
KAJIAN Dr Zafarina dan Dr Mohd Fadhli
yang diserahkan kepada JHEOA di Georgetown,
baru-baru ini.

Gelombang populasi kedua dipercayai berasal dari Fujian atau Zhejian (juga dikenali sebagai Selatan Mongoloid atau Austronesian), yang menetap di sekitar kepulauan Asia Tenggara dan tanah besar kira-kira 4,000 ke 6,000 tahun dulu.

"Kita tidak ubah sejarah, sebaliknya kita sedang mendokumentasikan sejarah. Orang Asli memang lebih tua daripada orang Melayu. Ada banyak orang yang datang ke Malaysia dan banyak yang sudah bercampur," katanya selepas majlis penyerahan dua tesis kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Bilik Persidangan USM, Georgetown, baru-baru ini.

Satu lagi tesis bertajuk Variasi Pergigian Dalam Populasi Malaysia untuk aplikasi pengecaman identiti manusia yang dihasilkan pensyarah Pengajian Sains Pergigian, Dr Mohd Fadhli Khamis.

Secara umum, kajian bertajuk Analisis DNA Mitokondria (MtDNA) masyarakat Melayu Moden dan Orang Asli di Semenanjung itu adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai `genetik make-up' dan pembangunan pangkalan data bagi DNA mitokondria bagi masyarakat Melayu dan Orang Asli.

Pembangunan pangkalan data penting sebelum analisis DNA mitokondria dapat diaplikasi dalam kes-kes forensik yang membabitkan kedua-dua populasi.

Secara tidak langsung, maklumat yang diperolehi dapat digunakan dalam kajian genetik populasi yang membawa kepada penemuan yang menunjukkan perbezaan ketara di antara masyarakat Melayu Moden dan Orang Asli.

Sehingga ke hari ini, belum ada kajian penuh dan menyeluruh berkenaan konstitusi genetik Orang Asli yang dilakukan oleh saintis dari Malaysia.

Dr Zafarina berkata, kebanyakan kajian yang sudah dibuat oleh saintis Barat lebih bersifat untuk mendapatkan informasi berkenaan profil genetik Orang Asli kerana mereka ini adalah antara manusia moden yang tertua yang masih wujud di atas muka bumi.

Kajian berkenaan masyarakat Orang Asli dari Semenanjung Malaysia oleh saintis barat sudah berjaya membawa kepada penemuan beberapa rumusan penting mengenai sejarah pergerakan manusia moden di atas muka bumi ini.

Antara penerbitan terbaru saintis Barat yang menggunakan maklumat daripada kajian Orang Asli adalah rumusan mengenai penyebaran manusia moden dari Afrika ke Asia Tenggara kemungkinan besar berlaku melalui laluan pantai menerusi India dan seterusnya ke Australasia.

Pergerakan itu dikatakan berlaku kira-kira 65,000 tahun dulu.


FAKTA NOMBOR
Sampel DNA

102 - Melayu moden
58 - Orang Asli


FAKTA

Orang Melayu
Teori Yunan

[img]http://www.bharian.com.my/m/BHarian/BHimages/23melayu3.jpg[/img]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan