Selasa, 2 Jun 2009

Pengisian SATU MALAYSIA.

Salam sejahtera, maafkan saya mengeluarkan kenyataan secara berterus-terang, menyampaikan hasrat dan suara hati masyarakat kami terhadap kerajaan BN, sebelum ini langsung tidak di beri ruang, untuk diluahkan akibat digertak dengan lesen yang maha agung iaitu ISA.

Kami masyarakat Orang Asli memohon kerajaan menghormati dan memahami konsep tanah Orang Asli sepertimana kerajaan Negeri Selangor buat sekaligus mengiktirafkan kedalam kanun tanah Negara supaya dihormati oleh semua pihak menjadikan asas dan satu titik sejarah atau lembaran baru sebagai pengisian dalam konsep satu Malaysia, supaya masyarakat Orang Asli dapat merasai erti dan menikmati kemakmuran bersama sejajar dengan konsep satu Malaysia, agar tidak lagi tertindas dan tidak perlu naik turun mahkamah untuk menuntut atau dituntut.

Ini kerana tanah Orang Asli selama ini diperlakukan oleh kerajaan seperti telur dihujung tanduk walaupun tanah kami berjumlah 137,600.65 hektar hanya 14.58% 19,987.46 hektar daripada keluasan tersebut diwartakan sebagai rizab Orang Asli. 21.16% atau 29,010.80 hektar lagi telah diluluskan tetapi masih belum diwartakan, manakala selebihnya belum diluluskan lagi sebaliknya kerajaan mengklasifikasi sebagai tanah kosong kerajaan.

Maka tanah-tanah ini terdedah kepada ancaman pencerobohan, walaupun kerajaan mengetahui bahawa Orang Asli berkurun menduduki dan mengusahakan tanah tersebut, terdapat bukti-bukti kebun-kebun getah merupakan sumber pendapatan utama penduduk disamping makam-makam keramat, perkuburan dan dusun-dusun datok nenek moyang kami didalam tanah itu, tetapi kerajaan sengaja tidak mengendahkanya manakala sebahagiannya keluasan tanah kami langsung tidak diambil kira kerana berada didalam hutan simpan akibat daripada dasar kerajaan tidak mengiktiraf Orang Asli sebagai penduduk Asal Negara.

Maka sebab itu pewartaan hutan simpan pada 1920 tidak mengambil kira kewujudan Orang Asli didalamnya, maka kami Orang Asli berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh kerajaan BN atas dakwaan menceroboh, kononya tanah adat saka Orang Asli tidak diiktiraf dibawah kanun tanah Negara, walhal kerajaan ada kuasa meminda undang-undang bagi melindungi tanah Orang Asli.

Jika kerajaan benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab membela nasib Orang Asli, sudah tentu tidak ada masalah tetapi sebaliknya kerajaan melupuskan tanah kami, maka masyarakat kami terdedah kepada ancaman, setelah tanah adat kami menjadi rebutan individu bangsa-bangsa lain yang tamak dan berkepentinggan.

Tetapi baru-baru ini semasa mesyuarat umno di Jengka, salah seorang pemimpin parti itu berkata kononya, mereka pening kepala kerana Orang Asli sudah menuntut hak dalam masa yang sama melayu juga menuntut hak. Persoalanya kenapa tuntutan tanah adat Orang Asli disamakan dengan tuntutan melayu? Kenapa tanah adat Orang Asli menjadi pilihan?
Ini jelas kerajaan BN sengaja melaga-lagakan masyarakat Orang Asli dengan Orang luar merupakan punca kerusuhan kepada asas perpaduan kaum selama ini sedangkan Orang Asli hanya menuntut hak keatas tanah berkaitan adat resam sahaja berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada, Kenyataan sebegini jelas menunjukan sudah jauh terpesong mereka sudah lari daripada apa mereka dah lakukan dengan memutarbelitkan fakta.

Eroninya Orang Asli sendiri masih tidak mengerti dengan permainan politik semasa, akibatnya Orang Asli syok sendiri telah termakan gula-gula dan dihasut oleh pemimpin seperti itu, serta pemimpin Orang Asli sendiri seperti musang berbulu ayam mengejar gelaran yang tak pasti dapat, merelakan diri mereka menjadi kuda tunggangan umno semata-mata dengan mengadaikan maruah bangsa untuk kepentingan sendiri akhirnya Orang Asli sendiri terjerumus kedalam isu hak, seperti menang sorak kampong tergadai.
Sepatutnya tidak timbul dan tidak perlu dipertikaikan, akibatnya Orang Asli menumpang di Negara sendiri.

Mudah-mudahan dengan adanya laungan keramat 1 Malaysia yang bergema merentasi ceruk gunung berik benuak, teluk carok dan rantau. Orang Asli berharap agar laungan itu membawa rahmat sinar harapan baru untuk menikmati erti kemerdekaan yang sebenar dan bolehlah menarik nafas lega, dengan penuh rasa bangga menjadi rakyat Malaysia disamping merehatkan diri dan fikiran dari igauan dan cengkaman undang-undang dasar pembangunan kapitasi kapitarik ciptaan BN yang mengerunkan, membelakangkan nilai-nilai kemanusiaan yang mengutamakan keuntungan. Shafie, Pahang.

Orang Asli diancam kerana mempertahankan hak

Salam sejahtera dan salam perpaduan,

Disini saya ingin meluahkan keresahan hati masyarakat kami Orang Asli, yang merasa amat kesal dengan keputusan mesyuarakat kerajaan Negeri (Ruj.(3)com.PTG.PHG:13/168 Jld.1 bertarikh 19FEBRUARI 1998. Pindaan 2006. Atas arahan melupuskan tanah masyarakat kami Orang Asli, ini kerana keputusan mesyuarat tersebut langsung tidak mengambilkira sentiviti dan kreadibiliti sesuatu kaum, keputusan mesyuarat tersebut telah menyebabkan masyarakat kami banyak kehilangan tanah akibat dirampas begitu saja walau pun di dalamnya terdapat bukti-bukti kukuh seperti makam-makam, kubur-kubur, kebun-kebun getah dan dusun-dusun buah-buahan serta pelbagai bukti, sehinga tanah-tanah masyarakat kami semakin mengecil, menyebabkan masyarakat Orang Asli tidak dapat lagi meneruskan sambutan kebudayaan seperti juga di Sabah, dalam suku Jahut dipanggil “Hari Muyang”.

Kami masyarakat Orang Asli juga sesunguhnya amat begitu terkilan dengan tindakan tersebut, sepatutnya sekiranya kerjaan mahu menentukan apa-apa dasar pembanggunan yang melibatkan adat dan budaya Orang Asli, seharusnya bersama kaum itu sendiri, sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak dan Selangor, yang menubuhkan Ahli Jawatankuasa khas menjaga hak Orang Asli, bukan hanya diwakili oleh JHEOA. Disini jelas bahawa Pakatan Rakyat lebih menghormati hak rakyat berbanding BN.

Sikap pihak yang berkewajipan yang sentiasa menuding jari tidak mengaku kesilapan juga amat dikesali, sepatutnya mencari punca bagaimana sesuatu permasalahan itu berlaku dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut, sebaliknya mereka dengan sengaja memutarbelitkan fakta, sehinga Akta kanun tanah Negara, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pindaan 1974, Perlembagaan Persekutuan, UN-DRIP dan pelbagai lagi Akta serta Perlembagaan yang menjamin hak rakyat pun dapat digunakan untuk mendiskriminasikan hak rakyat termasuk hak masyarakat kami.

Ini amat jelas sekali bahawa pihak Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan kuasa yang ada mendiskriminasikan masyarakat kami dan mencabuli hak asasi serta tidak menghormati fakta sejarah, Agama (Anamisme), adat resam dan budaya masyarakat kami Orang Asli sebagai Orang asal di Negara ini. saya juga pernah digertak akan ditangkap dibawah ISA sekiranya perkara tersebut dikemukakan kepihak atasan.

Sedangkan sekiranya perkara tersebut tidak ditanggani segera pastinya akan menggundang permasalahan yang lebih besar seperti rusuhan kaum, akibat tidakan Kerajaan yang telah memajak tanah masyarakat kami kepada pihak swasta serta pihak individu melayu dan cina, sedang kelulusan tersebut adalah daripada pihak Kerajaan.

Oleh itu saya mohon kejasama pihak-pihak yang berkenaan untuk mengkaji semula perkara tersebut demi perpaduan dan keharmonian kaum di Negara ini.