Ahad, 28 Februari 2010

Dasar pemberimilikan tanah kepada Orang Asli

DASAR PEMBERIMILIKAN TANAH

2. Pemberimilikan tanah kepada Orang Asli merujuk kepada Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.
3.
(a) Tanah yang dibangunkan dan diberi milik meliputi 2 kategori iaitu:

(i) Tanah Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134); dan

(ii) Tanah yang diluluskan oleh PBN di bawah Seksyen 6 Akta 134 tetapi belum diwartakan sebagai Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 akta 134.


(b) Pemberimilikan tanah hanya diberikan kepada KIR Orang Asli yang merupakan Orang Asli seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta 134;

(c) Keutamaan pemberimilikan akan diberikan kepada Orang Asli setempat;

(d) Kegunaan dan keluasan tanah adalah seperti berikut:

(i) Tanah ladang seluas 2 hingga 6 ekar mengikut kemampuan sendiri; dan

(ii) Tapak rumah seluas 5000 kaki persegi hingga ¼ ekar.

(e) Walau bagaimanapun, Dasar di perenggan (c) dan (d) tertakluk kepada –

(i) sekiranya terdapat lebihan tanah setelah ditolak bahagian KIR Orang Asli di sesuatu kawasan yang layak diberi milik tanah, maka lebihan tanah tersebut boleh dipertimbangkan pemberimilikan kepada Orang Asli di kawasan lain;

(ii) sekiranya keluasan tanah tidak mencukupi mengikut nisbah keluasan yang dicadangkan untuk diberi hak milik kepada KIR Orang Asli seperti di perenggan 19 (d), pemberimilikan tanah adalah mengikut nisbah keluasan yang lebih kecil, kecuali mereka bersedia untuk berpindah ke kawasan Orang Asli lain yang dipilih oleh Kerajaan Negeri;

(iii) sekiranya keluasan tanah hanya cukup untuk diberi milik bagi tujuan kediaman sahaja, maka tanah untuk tujuan pertanian boleh ditawarkan untuk diberi hak milik di kawasan lain yang ditentukan oleh PBN dengan perundingan JHEOA; dan

(iv) bagi penempatan Orang Asli yang termasuk dalam kawasan Rancangan Tempatan, kawasan tersebut akan dicadangkan untuk dikekalkan dan dizonkan sebagai kawasan penempatan Orang Asli. Bagi kawasan Orang Asli sedia ada yang tidak dizonkan sebagai kawasan penempatan Orang Asli dalam Rancangan Tempatan yang telah diwartakan, pengezonan semula Rancangan Tempatan berkenaan di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 [Akata 172] perlu dilakukan. JHEOA akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk mengenal pasti kawasan penempatan Orang Asli yang terbabit bagi membolehkan pemberimilikan dilakukan di bawah Dasar ini.

(f) tempoh pegangan hak milik ke atas tanah yang dinyatakan di perenggan a (i) dan (ii) adalah berkekalan (perpetuity);

(g) status tanah hak milik akan dikekalkan sebagai Rizab Orang Asli;

(h) bayaran premium bagi kelulusan tanah yang diberi milik dicadangkan pada kadar nominal;

(i) setiap KIR Orang Asli hanya akan mendapat hak milik sekali sahaja di bawah Dasar ini dan tidak boleh menuntut hak milik:-

(i) bagi tanah lain dalam kawasan yang sama;

(ii) bagi tanah lain dalam kawasan Oarng Asli yang lain; atau

(iii) bagi mana-mana petempatan baru yang dibuka oleh KIR yang sama yang telahpun diberi hak milik sebelum ini di bawah Dasar ini.

(j) tanah Orang Asli yang diberimilik di kawasan yang telah di warta dan disytiharkan sebagai kawasan Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta 134 perlu dikekalkan sebagai Rizab Orang Asli;

(k) semua kos yang terlibat dalam proses mendapat suratan hak milik seperti bayaran kerja ukur, bayaran premium, bayaran pendaftaran dan lain-lain bayaran yang berkaitan akan didahulukan oleh pemaju pembangunan. Kos tersebut akan dituntut daripada pemilik tanah melalui pemotongan hasil ladang;

(l) KIR Orang Asli yang mendapat faedah dari Dasar ini, tidak boleh menuntut apa-apa pampasan, ganti rugi atau membawa tuntutan ke mahkamah ke atas tanah yang dinamakan kawasan rayau/saka;

(m) sekiranya berlaku kematian setelah hak milik didaftarkan, tanah tersebut akan diturun hak milik (transmission) dan setiap pemilik baru hendaklah menandatangani perjanjian dengan pemaju pembangunan;

(n) walau bagaimanapun, Dasar ini tidak menghalang KIR untuk memohon untuk memiliki tanah mengikut kaedah pemilikan tanah yang biasa / sedia ada di bawah Kanun Tanah Negara; dan

(o) kerajaan negeri boleh melupuskan mana-mana tanah yang sesuai selain di perenggan a (i) dan (ii) bagi tujuan pemberimilikan tanah kepada Orang Asli di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.